GGGE2123 TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN
ARTIKEL KEJURURAWATAN
( IMPLIKASI COVID-19 TERHADAP MANUSIA DAN PERSEKITARAN)
NAMA PENSYARAH :
KOLONEL MOHD JASMY ABD RAHMAN
DESEDIAKAN OLEH:
1) MUHAMMAD FIDAUS BIN ZULKEFLE (A163910)
2) HAJAR QISTINA BT. MOHD NAZRI (A165939)
3) NURSYAKIRAH BINTI MOHAMED ALI (A163848)
4) NOR FADILAH BINTI SULONG (A160402)
5) CHIA SHI CUI (A165076)
Implikasi COVID-19 Terhadap Manusia Dan Persekitaran.
Sejak mutakhir ini, wabak virus Korona atau dikenali sebagai COVID-19 telah menjadi wabak pandemik yang menular di seluruh pelusuk dunia dan membawa kebimbangan kepada masyarakat. Kebimbangan ini ditambah apabila kira-kira 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom malah tidak disedari langsung oleh individu itu sendiri bahawa mereka sedang membawa virus tersebut. Tambahan pula, masih belum ada vaksin untuk virus ini dan jumlah kes semakin meningkat dari masa ke semasa. Kita juga dapat melihat bahawa kerajaan memandang serius berkaitan wabak ini dan pelbagai usaha membendung sedang giat dilaksanakan bagi memutuskan rantaian wabak ini. Sebagai rakyat marhaen, kita dapat melihat implikasi wabak COVID-19 ini terhadap manusia dan alam sekitar sama ada dari segi positif ataupun negatif.
Ketika berita tersebar mengenai penularan virus berbahaya di daerah Wuhan di China pada bulan Disember yang lalu sebahagian besar populasi dunia mengambil ringan akan perkara ini walaupun pada masa itu terdapat amaran awal daripada pengamal perubatan yang meramalkan penularan wabak ini ke serata dunia jika tidak ditangani awal. Malangnya, ramalan penyebaran wabak ini ternyata benar kerana wabak ini telahpun dikategorikan sebagai wabak pandemik pada 11 March 2020 oleh World Health organization (WHO). Malahan setakat hari ini, wabak ini telah tersebar ke 212 negara, menjangkiti lebih daripada 5 juta orang dan mengakibatkan lebih daripada 300 ribu kematian di seluruh dunia. Namun melalui wabak ini, kesedaran manusia serata dunia mengenai pentingnya menjaga kebersihan diri dan persekitaran bagi mengelakkan daripada jangkitan wabak telah meningkat. Manusia serata dunia telah mula mengadaptasikan norma kehidupan baharu yang diwar-warkan oleh pihak berkuasa melalui pelbagai medium iaitu di media sosial dan media bertulis. Norma kehidupan baharu termasuklah pemakaian topeng muka, penjarakan sosial, penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak dalam sesuatu kompaun telah menjadi mantera harian kepada penduduk serata dunia khususnya Malaysia semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pelaksanaan dan adaptasi normal baharu ini bukan sahaja bertujuan untuk ratakan lengkung jangkitan COVID-19 dan mencegah jangkitan COVID-19 di samping menjadikan rakyat lebih sihat, bersih dan kuat. Malangnya,selagi vaksin COVID-19 belum dihasilkan maka selagi itulah manusia perlu menyesuaikan norma baharu ini dalam kehidupan harian mereka.
Selain daripada peningkatan kesedaran kepada individu dan masyarakat tentang menjaga kebersihan diri dan persekitaran, COVID-19 juga memberi kesan yang baik kepada alam sekitar. Kualiti air juga dilihat positif jika dibandingkan dengan sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. Sebanyak 28% dari 29 stesen pemantauan air sungai di Malaysia menunjukkan pertambahbaikan indeks kualiti air sungai (WQI). Sebagaimana yang kita boleh lihat iaitu, Sungai Melaka turut dilihat semakin bersih dan jernih sehingga kelihatan sekumpulan ikan berenang di dalamnya. Sungai Pinang di Pulau Pinang yang merupakan antara sungai terkotor di Malaysia turut dilihat biru kehijauan berbanding keadaannya yang kehitaman sebelum PKP dilaksanakan. Profesor Dr. Chan Ngai Weng, penyelidik pengurusan alam sekitar dan hidrologi dari Universiti Sains Malaysia berkata bahawa lambakan kekotoran yang berpunca pelepasan minyak dari bengkel dan kilang, dan tercampur sebati oleh bahan organik dari air sisa pasar dan kawasan penjaja terhenti apabila PKP dilaksanakan sehingga sungai tidak lagi dibebani pencemaran seperti ini. Pandemik COVID-19 ini memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar. Secara amnya, kekurangan penggunaan kenderaan dan aktiviti industri yang mengeluarkan asap juga menyebabkan kita mendapat udara yang bersih. Hal ini diakui oleh Kementerian Alam Sekitar apabila Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan laporan mengenai peningkatan kualiti udara sebanyak 14 peratus dengan kualiti udara kategori ‘baik’ berdasarkan Indeks Pencemaran Udara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di seluruh Malaysia.COVID-19 dilihat memberi impak positif kepada alam sekitar dan peluang kelestarian secara semulajadi.
Kemunculan wabak COVID-19 memang tidak dinafikan telah memberi kesan yang baik kepada manusia dan persekitarannya. Tetapi, malangnya ia juga telah meninggalkan kesan yang buruk kepada manusia di keseluruhan dunia. Seluruh negara telah terkesan dengan impak buruk yang melanda dunia akibat COVID-19. Termasuk di Malaysia juga yang telah banyak kehilangan sumber ekonomi antaranya yang terjejas adalah sektor pelancongan. Hal ini kerana, pelancongan telah dihentikan secara serta merta tidak kira dari luar negara mahupun di dalam negara. Berdasarkan petikan yang telah dibahas oleh Suhael Adnan dan Suzalina Halid, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 billion akibat penularan coronavirus (COVID-19). Perdana Menteri berkata, kerajaan menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion. Katanya, ia susulan pakej pelancongan dibatalkan dan ini menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan. Selain itu, Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, industri ini juga merekodkan kerugian kira-kira RM20 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Beliau juga berkata, kira-kira satu juta pekerja sektor pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan pada tahun ini susulan penularan jangkitan COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dunia. Beliau menyatakan kebimbangan dengan perkembangan itu menyifatkan angka itu sebagai 'menakutkan'. Tidak lupa juga, pekerja-pekerja swasta seperti pemandu pelancong dan sebagainya yang terlibat dalam sektor ini. Pendapatan mereka pasti lebih terjejas akibat penularan wabak yang mengganggu mereka untuk mencari rezeki. Termasuklah pekerja awam yang terlibat seperti tukang masak di restoran, pengawal keselamatan yang bekerja di tempat-tempat seperti hotel, pemandu teksi, pekerja di pusat tarikan pelancong seperti taman tema mahupun di tempat peranginan, dan sebagainya. Mereka juga perlu dititikberatkan kerana mereka jugalah yang turut sama membantu dalam industri ini.
Kesimpulannya, wabak pandemik ini telah memberikan impak yang besar kepada manusia dan alam sekitar dari segi positif mahupun negatif. Dari sudut negatifnya, kita dapat melihat bagaimana ekonomi negara menjadi lumpuh dek kerana banyak sektor yang terpaksa memberhentikan operasi sepanjang perlaksanaan perintah kawalan pergerakan. Segelintir masyarakat juga kehilangan sumber rezeki mereka apabila mereka tidak boleh ke kerja dan majikan mereka juga tidak mampu membayar gaji pekerja serta terpaksa mengurangkan bilangan pekerja. Masyarakat juga terpaksa menjalani norma kehidupan baharu yang agak luar biasa daripada rutin harian mereka. Namun begitu, dari sisi positifnya, kita dapat melihat alam sekitar sedang dipulihkan dengan sendirinya sepanjang tempoh penyebaran wabak ini. Sungai-sungai menjadi bersih, kualiti air semakin meningkat, pencemaran udara juga berkurang serta kualiti udara turut meningkat. Oleh itu, kita sebagai ahli masyarakat haruslah sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa supaya wabak ini dapat dibendung sekaligus dapat mengurangkan kesan negatif wabak ini yang sedang kita alami sekarang.
RUJUKAN
Suhael Adnan dan Suzalina Halid, Mac 2020, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/665159/rm337-bilion-kerugian-sektor-pelancongan-akibat-covid-19
Umavathi Ramayah, April 24, 2020, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-1-juta-pekerja-sektor-pelancongan-bakal-hilang-pekerjaan-nancy-240024
Jamie Ducharme, March 11, 2020
https://time.com/5791661/who-coronavirus-pandemic-declaration/
Suriayati Baharom, April 30, 2020 https://news.uthm.edu.my/ms/2020/05/adakah-virus-covid-19-beri-kesan-kepada-haiwan-dan-tumbuhan/









